Cinta Dalam Perjuangan Nabi
“Seolah-olah sekarang, saya masih dapat melihat kepada Rasulullah s.a.w. ketika beliau menceritakan seorang Nabi dari kalangan para Nabi salawatullah wasalamuhu alaihim, iaitu ketika kaumnya memukulnya dan menyebabkannya berdarah-darah,”kata Ibn Mas’ud.
Mungkin saja Nabi s.a.w. tidak menyebutkan siapa Nabi yang sedang diceritakannya itu. Tetapi dari gaya Ibn Mas’ud menyebutkan cara penceritaan baginda s.a.w. itu, seakan-akan baginda sendiri adalah Nabi yang dimaksudkan itu. Orang yang telah merasai peritnya perjuangan yang ditempuhnya pasti lebih mudah membayangkan dan menjiwai apa yang diceritakannya. Namun, cinta Nabi lebih besar dari segala kelukaan dan keperitan yang ditempuhnya itu.
Sebab itu, sambung Ibn Mas’ud lagi,
“Dan Nabi itu mengusap darah itu dari wajahnya lalu berdoa, “Ya Allah ampunkanlah kaumku, sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui.” [Muttafaq Alaih]
Semudah itu memaafkan kaumnya?
Cinta, Pengorbanan Dan Perjuangan
Untuk memulakan perjuangan itu sudah satu perkara yang susah, tetapi untuk memastikan kita istiqamah dan berterusan di atas jalan perjuangan, itu adalah lebih susah. Nabi s.a.w. memulakan dakwah Islam ini dalam keadaan baginda adalah seorang. Daripada seorang itu, berkembang kepada isterinya, kemudian kepada sahabat baiknya, kemudian kepada golongan hamba dan seterusnya kepada masyarakat umumnya. Susah. Tidak mudah untuk membawa satu perjuangan baru kala masyarakat telah selesa dengan cara hidup lama. Pastinya perjuangan itu akan menempuhi seribu kepahitan, diuji dan ditohmah mungkin, bahkan tak kurang akan ada yang menolak. Sehinggalah perjuangan itu sampai ke tahap kita tak hanya mengorbankan air mata, tenaga dan harta semata-mata, tetapi menuntut darah dan nyawa kita.
Itulah yang telah dirasai Nabi s.a.w.
Namun, dibandingkan dengan segala kesusahan dan kelukaan yang telah menimpa dirinya, yang telah dilakukan oleh kaumnya sendiri terhadapnya, cintanya untuk ummat tetap lebih besar.
Lebih besar dibandingkan dengan caci maki dan tohmahan yang saban hari menusuk hati.
Lebih besar dibandingkan dengan kehilangan ramai sahabatnya dalam perjuangan bersama.
Lebih besar dibandingkan dengan darah-darah yang menitis kerana dibaling batu dan dilukakan oleh kaumnya sendiri.
Thaif Menjadi Saksi Sebening Cinta Nabi
“Adakah pernah datang suatu hari kepada dirimu yang lebih sukar dari hari peperangan Uhud?”
tanya sang isteri tercinta, Saidatina Aisyah r.anha kepada baginda s.a.w.
“Sesungguhnya aku telah menghadapi hal itu dari kaummu,” kata baginda s.a.w., “…dan sesuatu yang paling berat aku hadapi dari mereka itu adalah pada hari Aqabah (hari Nabi bergerak ke Thaif), ketika mana aku menawarkan diri kepada Ibn Abd Yalil bin Abd Kulal, tetapi ia tidak mengabulkan apa yang aku kehendaki, maka aku pun pulang dalam keadaan wajahku penuh dukacita, dan tidaklah aku sedar keadaan itu melainkan setelah aku berada di Qarnus Tsaa’lib (nama sebuah tempat), aku mengangkat kepalaku dan tiba-tiba ada awan yang menaungi diriku,”
Ibn Abd Yalil bin Abd Kulal dikatakan adalah salah seorang yang terkemuka di kalangan ahli Thaif dan baginda s.a.w. datang kepadanya untuk menawarkan Islam kepada mereka, namun mereka bukan saja tidak memenuhi tawaran baginda, bahkan Nabi s.a.w. telah dilukakan lagi oleh sebahagian anak-anak kecil yang mereka kumpulkan sepanjang jalan untuk melontar Nabi dengan batu.
“Sesungguhnya Allah Taala mendengar kata-kata kaummu terhadap dirimu dan bagaimana mereka menolak permintaanmu itu. Sekarang Allah mengutuskan kepadamu malaikat penjaga gunung agar kamu dapat arahkannya untuk melakukan apa saja yang kamu mahu.” Jibril a.s. berbicara kepada baginda.
“Wahai Muhammad,”
malaikat penjaga gunung memulakan bicaranya setelah memanggil dan memberikan salam kepada baginda s.a.w.
“Sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu terhadap dirimu dan aku adalah malaikat penjaga gunung. Tuhanku telah mengutuskan aku kepadamu agar kamu dapat mengarahkanku, maka apakah yang kamu kehendaki?”
“Sekiranya kamu mahu, aku hempapkan saja ke atas mereka itu dengan al-akhsyabain (dua gunung) !”
Meski sedahsyat itu apa yang telah menimpa baginda sehingga Tuhan sendiri mengutuskan malaikat untuk memenuhi apa jua hajatnya terhadap kaumnya yang telah melukakannya, namun cintanya selalu besar dari segalanya. Thaif telah menjadi saksi sebening cinta Nabi untuk ummat.
Apakah jawapan baginda?
Disuruh malaikat penjaga gunung itu meghempap kaum Thaif dengan gunung itu?
Kalau diukur jarak untuk baginda datang ke Thaif, pastilah tidak dekat. Sejauh itu datang hanya untuk menyampaikan seruan kebenaran, bukanlah datang dengan kereta berair-cond, apalagi dihidang makanan enak-enak, lalu diuji dengan penolakan oleh kaumnya pula, bahkan tidak hanya itu, tetapi juga dilontarkan batu sehingga melukakan baginda.
“Bahkan,”
kata baginda s.a.w. penuh rasa cinta, penuh kasih terhadap ummatnya,
“aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan dari sulbi-sulbi (keturunan) mereka orang yang akan menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apapun.” [Muttafaq Alaih]
Begitu mudah sekali?
Ya, begitulah mudah sekali baginda memaafkan tindakan kaumnya. Dengan segala apa yang telah dihadapinya di Thaif, bukanlah ada orang yang akan memberikan anugerah atau pangkat kepadanya, tetapi begitulah besarnya cinta baginda. Baginda hanya mahu melihat ummat ini kembali kepada Allah. Kerana itu cintanya melihat mereka sejahtera lebih besar dari melihat mereka dicelakakan.
Kalau Cintakan Nabi
Kita cintakan Nabi s.a.w. Tetapi apa bukti kita cintakan baginda s.a.w.?
Adakah cintakan Nabi dengan hanya sekadar berselawat dan mengadakan majlis-majlis ceramah mengingati baginda? Adakah cintakan Nabi dapat dibuktikan dengan hanya menganjurkan perarakan?
Kalau benar kita cintakan Nabi s.a.w., kita harus mencontohi perjuangan baginda s.a.w.
Cinta kita kepada baginda tidak sepatutnya berhenti hanya sekadar mahu mencontohi apa yang dipakai oleh baginda s.a.w., apa yang dimakan oleh baginda s.a.w. Bahkan perkara-perkara seperti itu pun ada perbincangannya dalam kalangan ulama’, apakah ia termasuk sunnah tasyrie (berkait dengan syariat) atau ghairu tasyrie (tidak termasuk dalam syariat), yang saya tidak akan panjangkan di sini.
Tujuan besar kedatangan baginda s.a.w. adalah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah. Maka, perjuangan yang lebih besar untuk dicontohi adalah perjuangan memahamkan manusia dengan Islam, perjuangan untuk mengajak manusia beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.
Dan pastilah perjuangan itu tidak dapat kita lakukan melainkan dengan memulakannya dari diri kita.
Kalau benar cintakan Nabi s.a.w., maka kita harus mencontohi baginda s.a.w. dalam akhlak baginda.
Lakukan kebaikan sebagaimana yang diperintahkan Allah dan tinggalkan segala keburukan yang masih ada dalam diri kita.
Barangkali cinta kita kepada baginda s.a.w. itu bermasalah sekiranya kita mendakwa cinta kepada baginda, tetapi masih terus cintakan untuk hidup dalam maksiat. Mendakwa cinta kepada baginda, tetapi sikap pentingkan diri masih menebal dalam diri. Mendakwa cinta kepada baginda, tetapi kita tidak rela meninggalkan segala sikap-sikap buruk dalam diri kita.
Allah menyebutkan di dalam Al-Quran,
“Katakanlah, sekiranya kamu sekalian mencintai Allah, maka ikutilah aku (baginda s.a.w.) nescaya kamu akan dikasihi oleh Allah.” [Al-Imran : 31]
Penutup : Perjuangan Bukan Sehari Dua
Pastinya perjuangan Nabi itu tidak hanya sehari dua. Untuk membina sebuah masyarakat yang faham Islam, pastinya ia mengambil masa untuk memproses dan membentuk mereka. Sebab itu, wajar dimuhasabah sekiranya cinta kepada Nabi s.a.w. hanya bertahan hanya sehari dua ketika musim-musim sambutan maulid, musim hijrah dan pelbagai lagi bentuk sambutan yang diadakan.Bukanlah sambutan itu yang utama, tetapi menghidupkan semula sunnah akhlak dan dakwah baginda dalam masyarakat, itu lebih utama. Untuk berkumpul, mengadakan ceramah, berarak, ramai yang boleh lakukan, tetapi untuk sabar memahamkan masyarakat tentang Islam, mengajak mereka kembali kepada Allah dan meninggalkan segala kemaksiatan, berapa orangkah yang mahu melakukannya?
Persoalan yang perlu kita sentiasa tanya, apakah yang kita lakukan setelah pulang dari semua sambutan itu?
Apakah masih benar cinta kita kepada baginda s.a.w.?
Atau cinta kita sudah tertinggal di tempat-tempat kita berkumpul tadi?
Kalau sekembalinya ke rumah, kita seperti biasa semula, solat tidak dijaga, Al-Quran diabaikan, tidak serius dan menjaga etika dalam bekerja, akhlak buruk masih diteruskan, maka seakan-akan perkumpulan kita dalam majlis sambutan itu hanyalah memenuhi adat tahunan dalam kalendar tahunan kita.
Nabi telah membuktikan cintanya terhadap ummatnya dalam perjuangan hidupnya.
Kita pula, benar-benar cintakah kita kepada Nabi sehingga kita sanggup mencontohi perjuangan baginda s.a.w?
Kisah yang dicoretkan oleh Afdholul Rahman ini sangat menyentuh jiwa. Rasa rindu pada Rasulullah teramat sangat. Betapa Rasulullah ini mempunyai Hati yang sangat bersih dan jernih. Hatta telah di izinkan Allah untuk membinasakan kaum yang melukakan hatinya, Baginda sangat tidak mahu melukakan hati sesiapa apatah lagi mnimpakan bencana kepada sekalian ummatnya. Subhanallah. Moga kita dapat mencontohi keperibadian baginda yang agung itu.
Sollu A'lan Nabi.. <3 <3
No comments:
Post a Comment